Monday, January 18, 2010

Aku Ingin Pulang

3

Aku Ingin Pulang


Satu lagi iklan raya Petronas yang menyentuh perasaan amat sesuai dihidangkan berulangkali kepada generasi muda. Klip video ini amat sesuai ditonton bersama peserta kursus dan kemudian dijadikan topik perbincangan hati ke hati supaya mesejnya dapat dihadamkan dan diamalkan dalam sistem kehidupan kita.


Kisah bermula di bulan puasa Ramadhan Al-Mubarak dengan pemandangan di Hospital di mana si Ayah telah dibenarkan pulang oleh doktor dan menyuarakan keinginannya untuk pulang ke rumahnya sendiri, tetapi anak perempuannya dengan berat hati membawa si Ayah tinggal bersamanya setelah permohonannya kepada pihak hospital untuk melanjutkan tempoh rawatan si Ayah sehingga selepas Eidul Fitri di tolak!! Si Ayah perasan yang menantunya tidak berapa setuju dengan situasi yang wujud.


Waktu makan bersama anak, menantu dan dua orang cucu yang ‘jujur’ menjadi pengalaman pahit si Ayah. Dengan kelemahan pergerakan yang ada, si Ayah sering tidak dapat mengawal pegangannya menyebabkan cawan terlepas dari tangannya, hirupan sup yang menitis ke lantai dan pinggan berisi lauk tertumpah di meja makan di samping kegagalan otot-otot mengawal pembuangan najis.


Si Menantu dan anaknya yang bersekongkol itu tidak tahan dengan kerenah si Ayah lalu menyediakan tempat makan yang berasingan bersama kucing keluarga dengan menyediakan cawan, mangkuk dan pinggan plastik ala ‘tray’ di asrama dengan alasan mengelakkan dari peralatan tersebut pecah lagi. Si Ayah perasan mangkuk yang digunakan sama dengan mangkuk makanan kucing keluarga itu. Sedih si Ayah diperlakukan begitu dan terkenang beliau ketika saat-saat dia membesarkan si Anak menatang bagai minyak yang penuh sehingga berjaya di menara gading, ini balasannya terhadap semua pengorbanannya ………( lagu Aku Ingin Pulang beralun sedih melatari suasana pilu tersebut)


Hari Raya Eidul Fitri dah hampir. Sedang si Menantu dan Anak tadi sibuk memasang pelita raya, mereka menegur Sang cucu-cucu yang sedang bermain rumah-rumah, “Main apa tu ?” Sang Cucu menjawab “ Bila kami besar, Mak dan Abah duduk sini, Kakak dan Adik duduk dalam ” . “Jangan lupa pakai lampin tau ……”


Alhamdulillah, peristiwa tersebut menyedarkan mereka dan si Anak berjumpa si Ayah dalam suasana pilu memohon kemaafan. Si Ayah dengan sifat kebapaan berlapang dada menyambut kasih sayang yang berkunjung di penghujung Ramadhan yang menggamit ketibaan Syawal.












***Sedih juga bila mencoretkan babak-babak kemanusiaan di atas.

Ingin berkongsi sesuatu…… ? Silakan…. Mungkin pengunjung dapat manafaat dari coretan tambahan anda di ruangan komen di bawah.

Bertemu kita di masa yang terdekat, insyaAllah. Wassalam.


3 comments:

  1. Memang sedih... Oleh itu orang tua perlu didik anaknya dengan akhlak Islam dan mengharap redho Allah dalam pengorbanannya menjaga ibu bapa di kala usia tua mereka. InsyaAllah , anak-anak pun akan terkesan dengan didikan yang di lihat dan akan mengulanginya kepadanya.

    Juga, jiwa orang tua memang sangat sensitif, oleh itu anak-anak perlu menjaga hati orang tua, bukannya hanya memberi tumpuan kepada keperluan fizikalnya semata.

    ReplyDelete
  2. memang banyak pengajaran yang kita boleh perolehi daripada kisah-kisah yang ditampilkan dalam bentuk iklan seperti ini....kisah yang diterbitkan dalam bentuk iklan seperti ini dapat menarik ramai makhluk yang bergelar manusia...walaupun tempoh penyampaiannya tidak lama.....tapi mesej yang ingin disampaikan amat bermakna.....seperti yang kita dapat lihat....di dalam akhbar terdapat beberapa kisah mengenai penyisihan warga emas....kita sebagai manusia yang memilik hati dan perasaan....perlulah memikirkan mengenai hati dan perasaan mereka juga.....semoga blog ini dapat membuka mata ramai pihak.....sekian...

    ReplyDelete
  3. sedih nyer tengok video nie...sayang ayah!!!!!!!!:(((

    ReplyDelete