Tuesday, January 26, 2010

Mungkin….. Tapi, Allah Juga Yang Lebih Mengetahui

4

Setelah hampir 25 tahun bertugas sebagai pendidik, berbagai pengalaman telah saya lalui. Antara pengalaman yang ingin dikongsikan di blog ini ialah ketika waktu perpisahan kerana bertukar tempat kerja. Ada berbagai sebab mengapa saya bertukar tempat kerja. Yang pertama kerana mengikut isteri. Saya bertugas di Pontian manakala isteri saya bertugas sebagai Pegawai Penilaian di JB. Oleh kerana isteri tidak boleh berpindah ke Pontian, beliau terpaksa berulang-alik setiap hari. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk memohon berpindah mengikut isteri.


Apabila permohonan saya diterima, maka tibalah hari-hari terakhir di Pontian. Ramai rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah dan selamat menempuh hidup baru di tempat yang lebih mencabar….Johor Bahru. Ada di antara mereka kata, “untunglah awak, dapat pindah”. Ada yang kata, “rugilah sikit duduk JB, semuanya mahal”. Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, pada satu hari saya menerima surat di pindahkan ke Kulai menyandang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan (HEM). Saya pun melapor diri pada tarikh yang ditetapkan dan tidak bercadang berpindah rumah yang berada di Skudai. Saya perlu memandu sejauh 60KM pergi balik dengan dikenakan bayaran tol sekitar RM4 sehari. Ramai yang mengucapkan tahniah atas perpindahan tersebut yang dirasakan menguntungkan kerana naik pangkat (sebenarnya tidak …. Kerana masih dig red yang sama) dan tak kurang juga berfikiran... “Kalau aku, tolak je…. Rugi, tak berbaloi dengan duit minyak dan tol yang terpaksa dikeluarkan”. Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Setelah 5 tahun berlalu dan banyak pengalaman ditimba di Kulai, antaranya sempat mendidik Mawi dan Que Haidar, saya rasa tibalah masanya saya kembali bertugas di Johor Bahru. Malangnya permohonan saya ditolak atas sebab tiada kekosongan jawatan yang sama iaitu Penolong Kanan (HEM). Tetapi saya menyatakan kesediaan untuk berhijrah ke sekolah yang baru diwujudkan tanpa jaminan jawatan guru kanan. Permohonan saya diterima dan ditempatkan di Mutiara Rini. Di majlis perpisahan, beberapa guru menyatakan “Rugilah awak, jika tunggu, tak lama lagi dah boleh jadi Pengetua !” Saya menjawab “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


3 tahun kemudian, saya dipindahkan ke SMK Tmn Universiti sebagai Penolong Kanan (Akademik). Ramai rakan ucap tahniah. “Tahniah! Untungnya awak”. Saya menjawab “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”. Tidak sampai setahun melaksanakan tugas sebagai Penolong Kanan (Akademik), saya berpeluang menjadi warga Temenggong di JB sebagai pensyarah. Saya mengambil peluang ini untuk berhijrah, lebih-lebih lagi saya mendapat sokongan padu dari Otai Temenggong, Tn. Hj. Sasman. Begitu juga dengan Pengetua, juga bekas pensyarah maktab, menggalakkan saya menimba pengalaman di Temenggong. Di majlis perpisahan, di samping beberapa rakan mengucapkan tahniah, ada beberapa guru menyatakan “Rugilah awak, jika tunggu, tak lama lagi dah boleh jadi Pengetua !” Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


5 tahun berlalu sebagai warga Temenggong, banyak pengalaman telah diperolehi. Saya dilantik memangku jawatan Pegawai Kanan PPPS DG52. Ketika Tuan Pengarah, Tn. Hj. Mohd Said b. Hasran menyampaikan surat perlantikan tersebut di majlis bersama warga Temenggong, beliau sempat membisikkan kepada saya….. lebih kurang “Tahniah! Untung awak, cepat 10 tahun” Saya tersenyum dan mengucapkan terima kasih sambil bersalaman, tetapi hati saya berkata “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Dengan rasa rendah hati, saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas segala ‘keberuntungan’ yang diberikan dan memohon ampun di atas segala kelemahan dan keterlanjuran dalam melaksanakan amanah selaku khalifah di muka bumi ini.

4 comments:

  1. Alhamdulillah. Allah Maha Mengetahui.

    ReplyDelete
  2. Kpd Malekabdillah: Yes ! Allah juga Yang Maha Mengetahui. tq.

    ReplyDelete
  3. Wow, saya sungguh kagum dengan segala liku yang tuan hadapi sebelum memegang jawatan yang tinggi di IPGM KTI. Tahniah tuan saya ucapkan.

    ReplyDelete
  4. Salam.
    Kpd Mu0 Runner; Tq Kepada Allah kita kembalikan kesyukuran .
    Wish u all d best too.

    ReplyDelete