Friday, February 26, 2010

Persekitaran kondusif kaunseling

1

Environment kondusif dalam konteks kaunseling ( Dedikasi kpd Melorian)

Sesi kaunseling telah selamat dijalankan. Saya mengutamakan persekitaran kondusif untuk keberkesanan sesi kaunseling. Persekitaran yang klien merasakan ‘selamat’ dan terkawal untuk kongsikan permasalahannya. Beberapa perkara perlu wujud dalam persekitaran kaunseling yang kondusif;

1. Alu-alukan kedatangan klien. Buatkan klien merasa dihargai dan dihormati. Luahkan rasa gembira dapat berjumpa klien dan looking forward untuk bekerjasama. Beritahu klien yang anda bersedia dan ambil berat untuk membimbing. Bertanyakan pengalaman berkaunseling yang pernah dilalui klien sebelum ini. Beri penjelasan awal mengenai perjalanan yang akan dilalui. Jangkamasa sesi iaitu sekitar 40 minit sahaja. Oleh itu klien juga dapat mengurus masanya. Bertanyakan klien sama ada dia selesa dengan suasana yang wujud. Adakah dia bersedia untuk meneruskan sesi tersebut.

Kadangkala kehadiran klien adalah kerana dirujuk. Jika setelah mendapat layanan seperti di atas dan dia menyatakan tidak bersedia untuk berkaunseling, beritahu dia sebenarnya anda mengambil berat dan bersedia bila-bila masa jika klien berubah fikiran memerlukan bimbingannya. Kaunselor tidak perlu merasa kecewa atau gagal jika klien menolak pada masa itu. Be professional. Hubungan kaunseling yang kondusif adalah berdasarkan ‘kerelaan hati’ klien.

2. Perlu ditekankan kepentingan sikap kaunselor. Kaunselor perlu "Unconditional Positive Regard". Ini bermaksud, kaunselor menerima klien dengan tangan dan minda terbuka, tanpa membuat penilaian awal, tanpa prasangka buruk, tanpa ‘judge by its cover’ dan jangan Tanya soalan yang direct atau konfran di peringkat awal. Beri ruang keselesaan yang secukupnya. Wujudkan ‘rapport’ dan tanamkan kepercayaan dalam diri klien bahawa anda sedia mendengar dan berusaha membantu. Anda berusaha untuk empati dengan klien iaitu dapat ‘membaca’ dan ‘melihat’ masalah dari kacamata klien. Teroka luahan perasaan dan kenyataan-kenyataan permasalahan klien dengan tenang.

3. Persekitaran fizikal juga penting. Pastikan perbualan tidak dapat didengari oleh orang lain. Bilik anda kalis bunyi. Tiada klien yang selesa jika mengetahui yang perbualannya boleh didengar oleh orang di luar bilik kaunseling. Oleh itu pastikan tempat dan masa dilaksanakan kaunseling tiada gangguan. Tiada gangguan telefon.

Kedudukan setti pun penting. Pastikan kerusi tempat duduk selesa, kerana anda hendak duduk di situ sekitar 40 minit. Pastikan jaraknya sesuai untuk anda berbincang. Sediakan kertas tisu, mungkin akan digunakan. Pastikan klien selesa dank lien merasakan anda memang mengalu-alukan kedatangannya dan bersungguh untuk mendengar luaahan hatinya.

Alhamdullillah, kesemua ini dapat dilaksanakan.

Tuesday, February 23, 2010

Persediaan Menghadapi Penyeliaan Kaunseling Individu

2

Esok, pensyarah saya, Dr. Faizah dari UTM, akan bersama saya ketika saya melaksanakan kaunseling individu. Beberapa persediaan saya lakukan secara mental. Setelah penat melakukannya secara mental iaitu seperti berfikir sebelum mengerakkan buah catur,dengan mengambil kira banyak kemungkinan yang akan berlaku sehingga perlu memikirkan 5 langkah kehadapan !, saya mengambil langkah untuk mencoretkannya di sini.

Saya biasanya menggunakan pendekatan Carl Rogers, iaitu Teori Pemusatan Klien, yang menakrifkan sesi kaunseling adalah satu perhubungan menolong yang personal. Saya perlu menjalinkan satu hubungan yang kondusif dan terapeutik supaya klien berasa selesa dan mampu meneroka potensi dirinya sendiri dan akhirnya bersedia untuk berubah dan berkembang.

Saya sedar di dalam hubungan itu nanti wujud 6 situasi yang mendorong klien membuat perubahan personaliti. Berikut adalah 6 situasi yang bakal saya lalui

  1. Saya akan berusaha mewujudkan suasana perhubungan menolong yang kondusif supaya klien dapat merasakan suasana terapeutik dengan suatu perhubungan yang unik iaitu perhubungan psikologi.
  2. Saya akan berhadapan dengan seorang klien yang tidak kongruen yang menyebabkannya mengalami kerisauan, kegelisahan dan kebimbangan. Klien memerlukan bantuan. Sudah pasti pengalaman sebenar tidak selari dengan gambaran kendirinya.
  3. Oleh itu saya perlulah seorang yang kongruen, ikhlas ingin menolong klien.
  4. Saya perlu menerima klien saya secara positif tanpa syarat, iaitu tiada prasangka buruk. Saya yakin klien jujur inginkan bantuan, bimbingan ke arah kehidupan yang positif.
  5. Saya perlu menjiwai permasalahan klien, dapat memahami secara empati, iaitu dapat memahami apa yang dialami dan dirasai klien dan mengkomunikasikan perasaan, persepsi dan kefahamannya kembali kepada klien.
  6. Diharapkan klien dapat merasai dia disambut oleh saya secara tanpa syarat dan kefahaman empatik saya dapat menyelesakannya untuk memulakan penerokaan untuk mengkongruenkan diri, mengalami perubahan diri yang positif.

Daripada di atas, dapatlah saya menggariskan 3 sikap yang perlu ada pada kaunselor iaitu di situasi ke-3, ke-4 dan ke-5. Pertama, kaunselor perlu seorang yang kongruen, iaitu ikhlas dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menjadi dirinya yang sebenar.


Kedua, sentiasa menerima klien secara positif tanpa syarat, iaitu boleh menerima setiap aspek pengalaman klien sebagai unik, diterima sepenuhnya dengan mesra dan positif.


Ketiga, kaunselor perlu dapat memahami dengan tepat dunia klien. Saya mesti memahami perasaan-perasaan klien seperti marah, serba-salah, benggang dan sebagainya. Saya perlu empati supaya saya dapat memahami perasaan klien, dan tidak keliru dengan apa yang dimaksudkan klien dan akan menghasilkan nada suara dan mimik muka yang selari dengan pengalaman klien.


Last but not least, disamping sikap kaunselor yang akan mempengaruhi perhubungan menolong ini, kemahiran asas mendengar, menyoal, dan menafsir perlakuan non-verbal adalah sama penting untuk diberi perhatian.


Doakan sejahtera ketika sesi kaunseling berlangsung.

Salam 1Malaysia.

Thursday, February 18, 2010

Analogi Visualisasi Limau Sunkist

0

Analogi Visualisasi Limau Sunkist : Bagaimana setiap pemikiran mempengaruhi setiap sel dalam tubuh.

Objektif Pembelajaran :

Pada akhir modul ini, pelajar dapat merasakan kesan pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif. Setiap apa yang kita fikirkan mempengaruhi setiap sel di dalam tubuh.

Bayangkan anda membeli limau Sunkist yang berwarna oren menarik dan bersaiz besar. Pada ketika itu anda dalam keadaan kehausan. Anda mengenggam limau tersebut. Anda mencium baunya. Anda berasa tidak sabar untuk membayarnya dan terus ke kereta untuk menikmati keenakkan limau Sunkist tersebut. Sesampai sahaja di kereta anda pun terus mengupas kulit limau Sunkist tersebut. Percikan limau memenuhi ruang kereta anda dan menusuk ke deria bau anda. Setelah semua kulit telah dikupas anda pun menggigit limau tersebut perlahan-lahan. Air limau yang segar lagi masam-masam manis memenuhi ruang mulut anda …… seronoknya……sedapnya…..

Anda dapat rasa perubahan di dalam mulut anda ?

Begitulah satu contoh kuasa pemikiran.

Bagaimana pula apabila anda sedih ?

Setiap apa yang difikirkan adalah penting dan tidak ditapis dari otak terus ke tubuh. Apabila kita berasa sedih, memikirkan kesedihan, ia akan menjejaskan kesihatan. Stress boleh menyebabkan kesihatan terganggu.

Apa yang anda fikirkan setiap saat mempengaruhi kesihatan. Ingin hidup sihat ? Perhatikan gaya pemikiran anda. Berapa banyak kali anda mengatakan “Saya keletihan”, “ Saya sakit” , “ “Saya macam nak selsema”, “ Kerja macam nak mati …. Lebih baik mati daripada …..” Setiap pemikiran tersebut menghantar mesej yang negatif ke tubuh, dan sel-sel dalam tubuh akan terpengaruh dan terjelmalah kebenaran kenyataan tersebut.

Apa yang boleh anda perkatakan dengan pengalaman sebentar tadi ?

Ingat kembali ketika anda marah. Bagaimanakah keadaan tubuh anda ? Bila dalam keadaan marah, jantung berdegup laju, tangan mula berpeluh dan mata akan membesar. Ini disebabkan ketika perasaan marah menguasai pemikiran kita, tubuh mengeluarkan bahan kimia ‘negatif’ yang membuat tubuh kita merasa tidak selesa dan menghasilkan reaksi tersebut.

Bolehkah anda menyatakan pengalaman lain yang anda lalui ?