Wednesday, January 13, 2010

Pendaki Gunung Dengan Penunjuk Arah

5
Analogi yang saya suka gunakan ketika memulakan sesuatu kursus ialah kisah Pendaki Gunung dengan Penunjuk Arah.

Sekumpulan 20 orang remaja dengan disertai seorang penunjuk arah yang berpengalaman telah memulakan pendakian sebuah gunung yang bersejarah lagi mistik. Pendakian yang dijangkakan mengambil masa 2 hari 1 malam itu dimulakan selepas zohor.

Setelah meredah hutan tebal dengan berpandukan kompas dan pengalaman si pemandu arah, mereka tiba di sebuah gua di waktu senja. Pemandu Arah pun meminta para pendaki menyiapkan tempat bermalam di dalam gua yang agak gelap suasananya dengan berpesan "Ketika berkemas, pungutlah butiran batu yang bertaburan sebagai cenderamata kepada keluarga dan rakan-rakan"

Dalam keadaan letih mereka pun menyiapkan tempat tidur dengan mengutip batu-batu yang bertaburan. Ada yang teringat pesanan tadi dan menyimpan butiran batu ke dalam beg galas mereka. Ada yang merasakan pesanan tersebut tidak serius dan mencampakkan batu-batu itu ke luar gua atau lebih jauh ke dalam gua. Ada yang sangat keletihan dan tidak teringat pesanan tersebut dan yang penting bagi mereka ialah kerehatan yang ditunggu-tunggu.

Keesokan paginya, dalam kegelapan subuh mereka mula meneruskan pendakian yang sukar sehingga ada yang merasakan benjolan batu-batu yang dikendong mengganggu tubuh badannya dan juga menambahkan beban beg mereka yang dari semasa ke semasa dirasakan bertambah berat bebanannya. Beberapa pendaki mengambil keputusan untuk membuangkan sebahagian batu tersebut dan ada yang membuang keseluruhannya. Perbuatan ini disokong oleh mereka yang tidak menghiraukan pesanan Pemandu Arah dan juga mempengaruhi beberapa pendaki yang lain yang turut membuang batu-batu untuk mengurangkan bebanan.

Pada jam 11 pagi mereka tiba di puncak dengan rasa gembira dan penuh kepuasan. Mereka mengambil tempat berehat dan mengeluarkan bekalan makanan. Beberapa pendaki menjerit kekaguman " Wah ! Cantiknya batu-batu yang berwarna warni ini. Tentu emak dan ayah gembira menerima cenderamata ini". Penunjuk Arah berkata " Ia akan lebih memancarkan cahayanya apabila digilap selalu". Beliau seterusnya memberi peringatan "Kita ada masa satu jam sahaja di puncak ini, kemudian kita akan memulakan perjalanan pulang melalui arah yang bertentangan".

Mereka yang tidak memiliki batu-batu gua tersebut merasa sedih dan kurang ceria di sepanjang perjalanan pulang.

Begitulah akhirnya analogi tersebut dan saya akan bukakan kepada peserta kursus atau program untuk membuat penafsiran "moral of the story....." di sebalik analogi tersebut.

Dikesempatan ini bolehlah rakan pengunjung blog ini mencoretkan penafsiran, pandangan dan komen mengenai analogi ini. Dipersilakan....... Wassalam.

5 comments:

  1. Cerita Tn.Hj.Razak membuatkan peserta berfikir sejenak motif cerita tersebut.Jika batu diibarat sebagai ilmu disini ada tiga situasi yang berlaku. Pertama individu yang memunggut batu, kedua individu yang memunggut batu selepas itu membuangnya sebahagian dan ketiga yang tidak punggut langsung. Yang pungut boleh ditakrifkan sebagai orang yang berminat terhadap sesuatu ilmu walaupun belum nampak manafaatnya dan patuh kepada arahan ketua.Orang seperti ini mudah dibentuk. Orang yang kedua kadang-kadang mengikut arahan dan kurang berminat terhadap sesuatu ilmu. Dan orang yang ketiga tidak berminat langsung dan tidak suka mengikut arahan.

    ReplyDelete
  2. oh... haruslah saya juga perlu bersabar,mengutip di dalam gelap...dan mengutip dalam keadaan amat lelah...terima kasih kepada cerita ini.

    ReplyDelete
  3. Salaams,

    Pendapat saya yang dhoif ini, harus sahaja mereka yang kurang bersabar dengan bebanan-bebanan yang melelahkan didunia ini tidak akan dapat menuai yang terbaik di akhirat kelak. Bahkan, mungkin sahaja kebaikan dan kebahagian didunia jua 'lari' dek sikap sebegitu.

    My two-cents opinion anyway. Have a nice day!

    ReplyDelete
  4. Cerita tersebut menjadi pengajaran kepada pengikut perlu setia kepada arahan atau nasihat pemimpin. Tiada kejayaan kepada pengikut jika tidak mengambil serius saranan pemimpinnya.

    Jadilah pengikut yang baik , i.Allah anda jadi pemim yang baik pengikutnya.

    ReplyDelete
  5. Menarik !
    Saya lihat batu-batu seperti anak didik.
    Oleh itu saya perlu pungut dan didik baik-baik. Potensi mereka besar.Jangan dibiarkan dan dibuang lebih-lebih lagi ketua dan pesan. Ia perlu dijaga dan digilap selalu.
    Pembawa batu perlu sabar dengan kerenah mereka yang kasar dan membebankan.
    Kemudian hari mereka akan menggembirakan dan memberi cahaya kepada dunia.

    Ini pandangan saya. Wallahu'aklam

    ReplyDelete