Wednesday, February 17, 2010

Kenali Otak Anda : Mengendalikan otak ibarat memandu kereta

2

Saya ingin membantu remaja berfikir secara positif dan merasa gembira dengan diri sendiri dan memberi faedah kepada orang lain. Di sini saya cuba menghasilkan modul yang akan menjelaskan idea bahawa bukannya apa yang berlaku kepada seseorang yang menyebabkan mereka gembira dan berjaya, tetapi bagaimana mereka ‘berfikir’ dan memberi interpretasi kejadian yang berlaku ke atas mereka yang memungkinkan ia mempengaruhi kepada perasaan gembira dan berjaya, menghasilkan keyakinan diri yang mantap. Modul ini ingin menjelaskan peranan berfikiran positif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian remaja. Ia menjelaskan bahawa berfikiran positif membawa ke pembelajaran yang lebih bermakna.

Segalanya bermula dan berakhir di minda kita. Bagaimana minda anda bekerja menentukan sejauh mana gembiranya anda, setinggi manakah kejayaan yang dicapai dan seintim mana perhubungan dengan orang lain. Belajar bagaimana memberi fokus dan mengarahkan minda adalah resepi penting untuk mencapai kejayaan.

Modul Pertama

Kenali Otak Anda Berfungsi

Pengetahuan mengenai otak kita bekerja boleh dianalogikan sebagai pengetahuan mengenai bagaimana memandu kereta. Jika anda telah mengetahui selok belok kemahiran memandu kereta tersebut, anda akan memandunya dengan selamat. Lebih banyak pengetahuan anda mengenai semua bahagian dalam kereta anda, lebih selesa dan bermakna pengalaman perjalanan bersama kereta anda.

Samalah dengan otak anda.

Bersyukurlah dengan “model” otak anda yang dikurniakan oleh tuhan !

Anda mesti setuju jika saya katakan bahawa pemandu Formula One jika memandu kereta WAJA akan memenangi perlumbaan dengan anda yang memandu Ferari. Ini kerana pemandu Formula One telah begitu mahir tentang ilmu kereta dan bagaimana setiap enjin, gear, tayar, clutch, dan brek berfungsi. Oleh itu, bukan model kereta yang menjadi keutamaan, tetapi kemahiran mengendalikannya alat tersebut menjadi penentu kejayaan.

Untuk meneruskan kehidupan yang bermakna, anda perlu belajar bagaimana mengendalikan otak ke arah menjadi juara !

Prinsip otak yang pertama : Otak beroperasi secara sinergi. Ini bermakna jumlah keseluruhan adalah lebih besar dari bilangan setiap satu bahagian. Maksud lain ialah 1 + 1 lebih besar daripada 2 ! Lebih besar di sini boleh mencecah ribuan, jutaan atau tak terhingga.

Oleh itu apabila anda misalnya berkhayal, anda sedang melalui keadaan bersinergi, bukannya pertambahan. Pemikiran yang berlaku walaupun anda berkhayal mengenai anda dan seorang rakan karib anda sahaja, tetapi minda anda menggunakan ruangan yang tak terhingga.

Dengan ini, jika kita gunakan peluang untuk berkhayal perkara-perkara yang berfaedah, perkara-perkara yang positif, suatu jaringan positif akan terbentuk dan berkembang. Sudah pasti kandungan minda kita hari ini lebih banyak daripada hari semalam dan kandungan minda kita esok lebih banyak daripada hari ini.

Andalah jurutera dan arkitek otak anda yang membangunkan pengisiannya.

Lebih sewajarnya dan molek otak memahami “Y”, lebih mudah “Y” dilaksanakan.

Y mungkin kreativiti, daya ingatan atau menyelesaikan masalah. Seterusnya jika sesuatu yang tidak berguna memasuki ruang otak, ia juga akan berkembang iaitu “Rumput liar Masuk, Rumput Liar Tumbuh” . Oleh itu jika sampah atau pencemaran memasuki otak, ia akan bersinergi hingga tak terhingga dan berupaya menguasai dan memusnahkan kebaikan.

Berjumpa lagi kita di Modul ke-2. Wassalam.

Wednesday, February 10, 2010

Penafsiran Personaliti

0

Salam sejahtera.
Ketika memberi ceramah motivasi, kadangkala saya berperanan sebagai pakar menafsir personaliti peserta kursus yang terdiri dari para remaja. Antara aktiviti adalah menunjukkan gambar gelas yang berisi air separuh penuh. Persoalan dikemukakan kepada peserta "Apakah yang anda lihat" Berbagai jawapan yang diterima. Ada yang mengatakan melihat gelas tu separuh penuh dan sebahagian lagi menyatakan gelas itu separuh kosong.

Saya menjelaskan tentang kehidupan ini yang dipenuhi oleh dua golongan yang menarik perhatian saya untuk dibincangkan iaitu golongan optimis dan golongan pesimis.

Saya menjelaskan jika mereka yang melihat gelas itu separuh penuh, mereka adalah golongan orang yang optimis. Kurang merungut dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Anda adalah seorang yang positif yang mempunyai masa depan yang cerah jika terus mengekalkan sikap sedemikian. Mereka perlu mengembangkan sikap positif tersebut.

Mereka yang sentiasa melihat gelas itu separuh kosong adalah seorang yang pesimis yang sentiasa melihat kekurangan yang wujud dan kerap kecewa dengan kekurangan tersebut. Golongan ini kurang bersyukur dengan nikmat-nikmat yang diperolehi, dan sering meluahkan kekecewaan terhadap dugaan yang diuji oleh tuhan. Golongan ini sering angkuh dengan ‘perfectionist’nya yang sentiasa sering tidak puas hati dengan kekurangan yang wujud dan sehingga sering pula mengkufuri nikmat yang ada. Oleh itu golongan ini perlu melatih diri mereka untuk melihat nikmat-nikmat yang amat banyak dilimpahkan. Menjadi insan yang lebih menghargai nikmat yang ada.
Semoga peserta-peserta dapat berfikir dengan positif dan mengubah persepsi terhadap sesuatu peristiwa ke a rah mendidik diri menjadi seorang yang optimis.

Bagaimana pendapat anda?

Monday, February 1, 2010

Ada Hikmah Di Sebalik Kegagalan

3
Setiap kali keputusan permohonan untuk mengikuti Program KPLI dikeluarkan, terdapat dua golongan yang ketara. Yang pertama adalah mereka yang berjaya dan yang kedua adalah mereka yang gagal. Bagi yang berjaya, banyak ucapan tahniah diterima dan rasa gembira yang tak terkira hadir dalam diri yang berjaya…. lumrahnya.

Kumpulan yang kedua yang menjadi perhatian saya kali ini, iaitu mereka yang gagal meneruskan impian untuk menjadi bakal guru, yang akan menjanjikan masa depan yang indah menjadi insan bergelar Cikgu. Keputusan “Dukacita dimaklumkan anda tidak berjaya …..” amat mengecewakan sekali. Seperti satu malapetaka melanda diri. Sunyi, sepi dan kosong dirasakan tanpa ada orang yang simpati. Tiada belas kasihan dari pihak yang bertanggungjawab. Perasaan kecewa terus menerus bergelombang menghempas di lubuk hati dan pemikiran. Tiada perkataan yang mampu diluahkan untuk menggambarkan betapa remuknya segala harapan yang telah sekian lama dibina.

Maksud Firman Allah SWT : “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ( Al-Ankabut: 2-3 )

Ya…. Saya rasa mereka (calon-calon KPLI) perlu disediakan sesi kaunseling yang menumpukan kepada persediaan menghadapi kegagalan dalam permohonan tersebut.

Ingin saya menyumbangkan sedikit bahan untuk mereka yang belum berjaya.

Dalam kehidupan ini, kejayaan dan kegagalan akan kita lalui di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Tumpuan kali ini ialah kita perlu menyediakan diri dalam menghadapi kegagalan. Hidup mesti diteruskan. Oleh itu beberapa prinsip hidup perlu kita sematkan dalam diri, antaranya

1. Anggaplah kegagalan tersebut sebagai cubaan dari Allah yang bertujuan untuk mendidik diri. Ini bermakna didikan dari Allah ini perlu dihargai dengan hati yang rela dan tabah.
2. Yakinlah, bahawa Allah itu Maha Adil dan tidak akan berbuat zalim. Allah ialah Zat Maha Pemberi dan pada suatu ketika akan mangambilnya kembali.
3. Seringkali kegagalan yang diberikan adalah tanda peringatan dan lambang kasih sayang-Nya dan memberi ruang kita bermuhasabah dan terus mengharap dariNya.
4. Hadith Rasulullah SAW yang maksudnya supaya kita mengucapkan : “innalillahi wainnailaihi roji'un” apabila ditimpa musibah dan ini akan Allah kurniakan pahala.
5. Kegagalan dijadikan sebagai batu loncatan untuk tingkatkan diri dan menempuh kehidupan dengan semangat yang baru yang lebih berkobar untuk kejayaan yang akan datang.
6. Setiap kegagalan datang bersama rahmat.
a. Ia akan lebih menghampirkan diri kepada Allah.
b. Doa orang orang yang ditimpa musibah lebih mustajab
c. Ia akan lebih mendewasakan diri.

Firman Allah SWT bermaksud : “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab sebelum Kami menciptanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang sombong lagi membanggakan diri”
( Al-Hadid : 22-23 )

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud : “ Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang, yang ketika musibah, mereka berkata “ “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al-Baqarah : 155-157 ).

Akhir sekali di ruangan ini, bahawa ujian Allah bukan hanya berupa kegagalan, dan kepayahan sahaja, tetapi juga berbentuk kejayaan dan kemewahan. Allah SWT berfirman bermaksud: “ Dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan Kamilah kamu semua kembali.”

Wallahu a’lam.