Wednesday, February 17, 2010

Kenali Otak Anda : Mengendalikan otak ibarat memandu kereta

2

Saya ingin membantu remaja berfikir secara positif dan merasa gembira dengan diri sendiri dan memberi faedah kepada orang lain. Di sini saya cuba menghasilkan modul yang akan menjelaskan idea bahawa bukannya apa yang berlaku kepada seseorang yang menyebabkan mereka gembira dan berjaya, tetapi bagaimana mereka ‘berfikir’ dan memberi interpretasi kejadian yang berlaku ke atas mereka yang memungkinkan ia mempengaruhi kepada perasaan gembira dan berjaya, menghasilkan keyakinan diri yang mantap. Modul ini ingin menjelaskan peranan berfikiran positif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian remaja. Ia menjelaskan bahawa berfikiran positif membawa ke pembelajaran yang lebih bermakna.

Segalanya bermula dan berakhir di minda kita. Bagaimana minda anda bekerja menentukan sejauh mana gembiranya anda, setinggi manakah kejayaan yang dicapai dan seintim mana perhubungan dengan orang lain. Belajar bagaimana memberi fokus dan mengarahkan minda adalah resepi penting untuk mencapai kejayaan.

Modul Pertama

Kenali Otak Anda Berfungsi

Pengetahuan mengenai otak kita bekerja boleh dianalogikan sebagai pengetahuan mengenai bagaimana memandu kereta. Jika anda telah mengetahui selok belok kemahiran memandu kereta tersebut, anda akan memandunya dengan selamat. Lebih banyak pengetahuan anda mengenai semua bahagian dalam kereta anda, lebih selesa dan bermakna pengalaman perjalanan bersama kereta anda.

Samalah dengan otak anda.

Bersyukurlah dengan “model” otak anda yang dikurniakan oleh tuhan !

Anda mesti setuju jika saya katakan bahawa pemandu Formula One jika memandu kereta WAJA akan memenangi perlumbaan dengan anda yang memandu Ferari. Ini kerana pemandu Formula One telah begitu mahir tentang ilmu kereta dan bagaimana setiap enjin, gear, tayar, clutch, dan brek berfungsi. Oleh itu, bukan model kereta yang menjadi keutamaan, tetapi kemahiran mengendalikannya alat tersebut menjadi penentu kejayaan.

Untuk meneruskan kehidupan yang bermakna, anda perlu belajar bagaimana mengendalikan otak ke arah menjadi juara !

Prinsip otak yang pertama : Otak beroperasi secara sinergi. Ini bermakna jumlah keseluruhan adalah lebih besar dari bilangan setiap satu bahagian. Maksud lain ialah 1 + 1 lebih besar daripada 2 ! Lebih besar di sini boleh mencecah ribuan, jutaan atau tak terhingga.

Oleh itu apabila anda misalnya berkhayal, anda sedang melalui keadaan bersinergi, bukannya pertambahan. Pemikiran yang berlaku walaupun anda berkhayal mengenai anda dan seorang rakan karib anda sahaja, tetapi minda anda menggunakan ruangan yang tak terhingga.

Dengan ini, jika kita gunakan peluang untuk berkhayal perkara-perkara yang berfaedah, perkara-perkara yang positif, suatu jaringan positif akan terbentuk dan berkembang. Sudah pasti kandungan minda kita hari ini lebih banyak daripada hari semalam dan kandungan minda kita esok lebih banyak daripada hari ini.

Andalah jurutera dan arkitek otak anda yang membangunkan pengisiannya.

Lebih sewajarnya dan molek otak memahami “Y”, lebih mudah “Y” dilaksanakan.

Y mungkin kreativiti, daya ingatan atau menyelesaikan masalah. Seterusnya jika sesuatu yang tidak berguna memasuki ruang otak, ia juga akan berkembang iaitu “Rumput liar Masuk, Rumput Liar Tumbuh” . Oleh itu jika sampah atau pencemaran memasuki otak, ia akan bersinergi hingga tak terhingga dan berupaya menguasai dan memusnahkan kebaikan.

Berjumpa lagi kita di Modul ke-2. Wassalam.

2 comments: