Friday, February 26, 2010

Persekitaran kondusif kaunseling

1

Environment kondusif dalam konteks kaunseling ( Dedikasi kpd Melorian)

Sesi kaunseling telah selamat dijalankan. Saya mengutamakan persekitaran kondusif untuk keberkesanan sesi kaunseling. Persekitaran yang klien merasakan ‘selamat’ dan terkawal untuk kongsikan permasalahannya. Beberapa perkara perlu wujud dalam persekitaran kaunseling yang kondusif;

1. Alu-alukan kedatangan klien. Buatkan klien merasa dihargai dan dihormati. Luahkan rasa gembira dapat berjumpa klien dan looking forward untuk bekerjasama. Beritahu klien yang anda bersedia dan ambil berat untuk membimbing. Bertanyakan pengalaman berkaunseling yang pernah dilalui klien sebelum ini. Beri penjelasan awal mengenai perjalanan yang akan dilalui. Jangkamasa sesi iaitu sekitar 40 minit sahaja. Oleh itu klien juga dapat mengurus masanya. Bertanyakan klien sama ada dia selesa dengan suasana yang wujud. Adakah dia bersedia untuk meneruskan sesi tersebut.

Kadangkala kehadiran klien adalah kerana dirujuk. Jika setelah mendapat layanan seperti di atas dan dia menyatakan tidak bersedia untuk berkaunseling, beritahu dia sebenarnya anda mengambil berat dan bersedia bila-bila masa jika klien berubah fikiran memerlukan bimbingannya. Kaunselor tidak perlu merasa kecewa atau gagal jika klien menolak pada masa itu. Be professional. Hubungan kaunseling yang kondusif adalah berdasarkan ‘kerelaan hati’ klien.

2. Perlu ditekankan kepentingan sikap kaunselor. Kaunselor perlu "Unconditional Positive Regard". Ini bermaksud, kaunselor menerima klien dengan tangan dan minda terbuka, tanpa membuat penilaian awal, tanpa prasangka buruk, tanpa ‘judge by its cover’ dan jangan Tanya soalan yang direct atau konfran di peringkat awal. Beri ruang keselesaan yang secukupnya. Wujudkan ‘rapport’ dan tanamkan kepercayaan dalam diri klien bahawa anda sedia mendengar dan berusaha membantu. Anda berusaha untuk empati dengan klien iaitu dapat ‘membaca’ dan ‘melihat’ masalah dari kacamata klien. Teroka luahan perasaan dan kenyataan-kenyataan permasalahan klien dengan tenang.

3. Persekitaran fizikal juga penting. Pastikan perbualan tidak dapat didengari oleh orang lain. Bilik anda kalis bunyi. Tiada klien yang selesa jika mengetahui yang perbualannya boleh didengar oleh orang di luar bilik kaunseling. Oleh itu pastikan tempat dan masa dilaksanakan kaunseling tiada gangguan. Tiada gangguan telefon.

Kedudukan setti pun penting. Pastikan kerusi tempat duduk selesa, kerana anda hendak duduk di situ sekitar 40 minit. Pastikan jaraknya sesuai untuk anda berbincang. Sediakan kertas tisu, mungkin akan digunakan. Pastikan klien selesa dank lien merasakan anda memang mengalu-alukan kedatangannya dan bersungguh untuk mendengar luaahan hatinya.

Alhamdullillah, kesemua ini dapat dilaksanakan.

Tuesday, February 23, 2010

Persediaan Menghadapi Penyeliaan Kaunseling Individu

2

Esok, pensyarah saya, Dr. Faizah dari UTM, akan bersama saya ketika saya melaksanakan kaunseling individu. Beberapa persediaan saya lakukan secara mental. Setelah penat melakukannya secara mental iaitu seperti berfikir sebelum mengerakkan buah catur,dengan mengambil kira banyak kemungkinan yang akan berlaku sehingga perlu memikirkan 5 langkah kehadapan !, saya mengambil langkah untuk mencoretkannya di sini.

Saya biasanya menggunakan pendekatan Carl Rogers, iaitu Teori Pemusatan Klien, yang menakrifkan sesi kaunseling adalah satu perhubungan menolong yang personal. Saya perlu menjalinkan satu hubungan yang kondusif dan terapeutik supaya klien berasa selesa dan mampu meneroka potensi dirinya sendiri dan akhirnya bersedia untuk berubah dan berkembang.

Saya sedar di dalam hubungan itu nanti wujud 6 situasi yang mendorong klien membuat perubahan personaliti. Berikut adalah 6 situasi yang bakal saya lalui

  1. Saya akan berusaha mewujudkan suasana perhubungan menolong yang kondusif supaya klien dapat merasakan suasana terapeutik dengan suatu perhubungan yang unik iaitu perhubungan psikologi.
  2. Saya akan berhadapan dengan seorang klien yang tidak kongruen yang menyebabkannya mengalami kerisauan, kegelisahan dan kebimbangan. Klien memerlukan bantuan. Sudah pasti pengalaman sebenar tidak selari dengan gambaran kendirinya.
  3. Oleh itu saya perlulah seorang yang kongruen, ikhlas ingin menolong klien.
  4. Saya perlu menerima klien saya secara positif tanpa syarat, iaitu tiada prasangka buruk. Saya yakin klien jujur inginkan bantuan, bimbingan ke arah kehidupan yang positif.
  5. Saya perlu menjiwai permasalahan klien, dapat memahami secara empati, iaitu dapat memahami apa yang dialami dan dirasai klien dan mengkomunikasikan perasaan, persepsi dan kefahamannya kembali kepada klien.
  6. Diharapkan klien dapat merasai dia disambut oleh saya secara tanpa syarat dan kefahaman empatik saya dapat menyelesakannya untuk memulakan penerokaan untuk mengkongruenkan diri, mengalami perubahan diri yang positif.

Daripada di atas, dapatlah saya menggariskan 3 sikap yang perlu ada pada kaunselor iaitu di situasi ke-3, ke-4 dan ke-5. Pertama, kaunselor perlu seorang yang kongruen, iaitu ikhlas dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk menjadi dirinya yang sebenar.


Kedua, sentiasa menerima klien secara positif tanpa syarat, iaitu boleh menerima setiap aspek pengalaman klien sebagai unik, diterima sepenuhnya dengan mesra dan positif.


Ketiga, kaunselor perlu dapat memahami dengan tepat dunia klien. Saya mesti memahami perasaan-perasaan klien seperti marah, serba-salah, benggang dan sebagainya. Saya perlu empati supaya saya dapat memahami perasaan klien, dan tidak keliru dengan apa yang dimaksudkan klien dan akan menghasilkan nada suara dan mimik muka yang selari dengan pengalaman klien.


Last but not least, disamping sikap kaunselor yang akan mempengaruhi perhubungan menolong ini, kemahiran asas mendengar, menyoal, dan menafsir perlakuan non-verbal adalah sama penting untuk diberi perhatian.


Doakan sejahtera ketika sesi kaunseling berlangsung.

Salam 1Malaysia.

Thursday, February 18, 2010

Analogi Visualisasi Limau Sunkist

0

Analogi Visualisasi Limau Sunkist : Bagaimana setiap pemikiran mempengaruhi setiap sel dalam tubuh.

Objektif Pembelajaran :

Pada akhir modul ini, pelajar dapat merasakan kesan pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif. Setiap apa yang kita fikirkan mempengaruhi setiap sel di dalam tubuh.

Bayangkan anda membeli limau Sunkist yang berwarna oren menarik dan bersaiz besar. Pada ketika itu anda dalam keadaan kehausan. Anda mengenggam limau tersebut. Anda mencium baunya. Anda berasa tidak sabar untuk membayarnya dan terus ke kereta untuk menikmati keenakkan limau Sunkist tersebut. Sesampai sahaja di kereta anda pun terus mengupas kulit limau Sunkist tersebut. Percikan limau memenuhi ruang kereta anda dan menusuk ke deria bau anda. Setelah semua kulit telah dikupas anda pun menggigit limau tersebut perlahan-lahan. Air limau yang segar lagi masam-masam manis memenuhi ruang mulut anda …… seronoknya……sedapnya…..

Anda dapat rasa perubahan di dalam mulut anda ?

Begitulah satu contoh kuasa pemikiran.

Bagaimana pula apabila anda sedih ?

Setiap apa yang difikirkan adalah penting dan tidak ditapis dari otak terus ke tubuh. Apabila kita berasa sedih, memikirkan kesedihan, ia akan menjejaskan kesihatan. Stress boleh menyebabkan kesihatan terganggu.

Apa yang anda fikirkan setiap saat mempengaruhi kesihatan. Ingin hidup sihat ? Perhatikan gaya pemikiran anda. Berapa banyak kali anda mengatakan “Saya keletihan”, “ Saya sakit” , “ “Saya macam nak selsema”, “ Kerja macam nak mati …. Lebih baik mati daripada …..” Setiap pemikiran tersebut menghantar mesej yang negatif ke tubuh, dan sel-sel dalam tubuh akan terpengaruh dan terjelmalah kebenaran kenyataan tersebut.

Apa yang boleh anda perkatakan dengan pengalaman sebentar tadi ?

Ingat kembali ketika anda marah. Bagaimanakah keadaan tubuh anda ? Bila dalam keadaan marah, jantung berdegup laju, tangan mula berpeluh dan mata akan membesar. Ini disebabkan ketika perasaan marah menguasai pemikiran kita, tubuh mengeluarkan bahan kimia ‘negatif’ yang membuat tubuh kita merasa tidak selesa dan menghasilkan reaksi tersebut.

Bolehkah anda menyatakan pengalaman lain yang anda lalui ?

Wednesday, February 17, 2010

Kenali Otak Anda : Mengendalikan otak ibarat memandu kereta

2

Saya ingin membantu remaja berfikir secara positif dan merasa gembira dengan diri sendiri dan memberi faedah kepada orang lain. Di sini saya cuba menghasilkan modul yang akan menjelaskan idea bahawa bukannya apa yang berlaku kepada seseorang yang menyebabkan mereka gembira dan berjaya, tetapi bagaimana mereka ‘berfikir’ dan memberi interpretasi kejadian yang berlaku ke atas mereka yang memungkinkan ia mempengaruhi kepada perasaan gembira dan berjaya, menghasilkan keyakinan diri yang mantap. Modul ini ingin menjelaskan peranan berfikiran positif dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian remaja. Ia menjelaskan bahawa berfikiran positif membawa ke pembelajaran yang lebih bermakna.

Segalanya bermula dan berakhir di minda kita. Bagaimana minda anda bekerja menentukan sejauh mana gembiranya anda, setinggi manakah kejayaan yang dicapai dan seintim mana perhubungan dengan orang lain. Belajar bagaimana memberi fokus dan mengarahkan minda adalah resepi penting untuk mencapai kejayaan.

Modul Pertama

Kenali Otak Anda Berfungsi

Pengetahuan mengenai otak kita bekerja boleh dianalogikan sebagai pengetahuan mengenai bagaimana memandu kereta. Jika anda telah mengetahui selok belok kemahiran memandu kereta tersebut, anda akan memandunya dengan selamat. Lebih banyak pengetahuan anda mengenai semua bahagian dalam kereta anda, lebih selesa dan bermakna pengalaman perjalanan bersama kereta anda.

Samalah dengan otak anda.

Bersyukurlah dengan “model” otak anda yang dikurniakan oleh tuhan !

Anda mesti setuju jika saya katakan bahawa pemandu Formula One jika memandu kereta WAJA akan memenangi perlumbaan dengan anda yang memandu Ferari. Ini kerana pemandu Formula One telah begitu mahir tentang ilmu kereta dan bagaimana setiap enjin, gear, tayar, clutch, dan brek berfungsi. Oleh itu, bukan model kereta yang menjadi keutamaan, tetapi kemahiran mengendalikannya alat tersebut menjadi penentu kejayaan.

Untuk meneruskan kehidupan yang bermakna, anda perlu belajar bagaimana mengendalikan otak ke arah menjadi juara !

Prinsip otak yang pertama : Otak beroperasi secara sinergi. Ini bermakna jumlah keseluruhan adalah lebih besar dari bilangan setiap satu bahagian. Maksud lain ialah 1 + 1 lebih besar daripada 2 ! Lebih besar di sini boleh mencecah ribuan, jutaan atau tak terhingga.

Oleh itu apabila anda misalnya berkhayal, anda sedang melalui keadaan bersinergi, bukannya pertambahan. Pemikiran yang berlaku walaupun anda berkhayal mengenai anda dan seorang rakan karib anda sahaja, tetapi minda anda menggunakan ruangan yang tak terhingga.

Dengan ini, jika kita gunakan peluang untuk berkhayal perkara-perkara yang berfaedah, perkara-perkara yang positif, suatu jaringan positif akan terbentuk dan berkembang. Sudah pasti kandungan minda kita hari ini lebih banyak daripada hari semalam dan kandungan minda kita esok lebih banyak daripada hari ini.

Andalah jurutera dan arkitek otak anda yang membangunkan pengisiannya.

Lebih sewajarnya dan molek otak memahami “Y”, lebih mudah “Y” dilaksanakan.

Y mungkin kreativiti, daya ingatan atau menyelesaikan masalah. Seterusnya jika sesuatu yang tidak berguna memasuki ruang otak, ia juga akan berkembang iaitu “Rumput liar Masuk, Rumput Liar Tumbuh” . Oleh itu jika sampah atau pencemaran memasuki otak, ia akan bersinergi hingga tak terhingga dan berupaya menguasai dan memusnahkan kebaikan.

Berjumpa lagi kita di Modul ke-2. Wassalam.

Wednesday, February 10, 2010

Penafsiran Personaliti

0

Salam sejahtera.
Ketika memberi ceramah motivasi, kadangkala saya berperanan sebagai pakar menafsir personaliti peserta kursus yang terdiri dari para remaja. Antara aktiviti adalah menunjukkan gambar gelas yang berisi air separuh penuh. Persoalan dikemukakan kepada peserta "Apakah yang anda lihat" Berbagai jawapan yang diterima. Ada yang mengatakan melihat gelas tu separuh penuh dan sebahagian lagi menyatakan gelas itu separuh kosong.

Saya menjelaskan tentang kehidupan ini yang dipenuhi oleh dua golongan yang menarik perhatian saya untuk dibincangkan iaitu golongan optimis dan golongan pesimis.

Saya menjelaskan jika mereka yang melihat gelas itu separuh penuh, mereka adalah golongan orang yang optimis. Kurang merungut dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Anda adalah seorang yang positif yang mempunyai masa depan yang cerah jika terus mengekalkan sikap sedemikian. Mereka perlu mengembangkan sikap positif tersebut.

Mereka yang sentiasa melihat gelas itu separuh kosong adalah seorang yang pesimis yang sentiasa melihat kekurangan yang wujud dan kerap kecewa dengan kekurangan tersebut. Golongan ini kurang bersyukur dengan nikmat-nikmat yang diperolehi, dan sering meluahkan kekecewaan terhadap dugaan yang diuji oleh tuhan. Golongan ini sering angkuh dengan ‘perfectionist’nya yang sentiasa sering tidak puas hati dengan kekurangan yang wujud dan sehingga sering pula mengkufuri nikmat yang ada. Oleh itu golongan ini perlu melatih diri mereka untuk melihat nikmat-nikmat yang amat banyak dilimpahkan. Menjadi insan yang lebih menghargai nikmat yang ada.
Semoga peserta-peserta dapat berfikir dengan positif dan mengubah persepsi terhadap sesuatu peristiwa ke a rah mendidik diri menjadi seorang yang optimis.

Bagaimana pendapat anda?

Monday, February 1, 2010

Ada Hikmah Di Sebalik Kegagalan

3
Setiap kali keputusan permohonan untuk mengikuti Program KPLI dikeluarkan, terdapat dua golongan yang ketara. Yang pertama adalah mereka yang berjaya dan yang kedua adalah mereka yang gagal. Bagi yang berjaya, banyak ucapan tahniah diterima dan rasa gembira yang tak terkira hadir dalam diri yang berjaya…. lumrahnya.

Kumpulan yang kedua yang menjadi perhatian saya kali ini, iaitu mereka yang gagal meneruskan impian untuk menjadi bakal guru, yang akan menjanjikan masa depan yang indah menjadi insan bergelar Cikgu. Keputusan “Dukacita dimaklumkan anda tidak berjaya …..” amat mengecewakan sekali. Seperti satu malapetaka melanda diri. Sunyi, sepi dan kosong dirasakan tanpa ada orang yang simpati. Tiada belas kasihan dari pihak yang bertanggungjawab. Perasaan kecewa terus menerus bergelombang menghempas di lubuk hati dan pemikiran. Tiada perkataan yang mampu diluahkan untuk menggambarkan betapa remuknya segala harapan yang telah sekian lama dibina.

Maksud Firman Allah SWT : “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ( Al-Ankabut: 2-3 )

Ya…. Saya rasa mereka (calon-calon KPLI) perlu disediakan sesi kaunseling yang menumpukan kepada persediaan menghadapi kegagalan dalam permohonan tersebut.

Ingin saya menyumbangkan sedikit bahan untuk mereka yang belum berjaya.

Dalam kehidupan ini, kejayaan dan kegagalan akan kita lalui di sepanjang perjalanan kehidupan ini. Tumpuan kali ini ialah kita perlu menyediakan diri dalam menghadapi kegagalan. Hidup mesti diteruskan. Oleh itu beberapa prinsip hidup perlu kita sematkan dalam diri, antaranya

1. Anggaplah kegagalan tersebut sebagai cubaan dari Allah yang bertujuan untuk mendidik diri. Ini bermakna didikan dari Allah ini perlu dihargai dengan hati yang rela dan tabah.
2. Yakinlah, bahawa Allah itu Maha Adil dan tidak akan berbuat zalim. Allah ialah Zat Maha Pemberi dan pada suatu ketika akan mangambilnya kembali.
3. Seringkali kegagalan yang diberikan adalah tanda peringatan dan lambang kasih sayang-Nya dan memberi ruang kita bermuhasabah dan terus mengharap dariNya.
4. Hadith Rasulullah SAW yang maksudnya supaya kita mengucapkan : “innalillahi wainnailaihi roji'un” apabila ditimpa musibah dan ini akan Allah kurniakan pahala.
5. Kegagalan dijadikan sebagai batu loncatan untuk tingkatkan diri dan menempuh kehidupan dengan semangat yang baru yang lebih berkobar untuk kejayaan yang akan datang.
6. Setiap kegagalan datang bersama rahmat.
a. Ia akan lebih menghampirkan diri kepada Allah.
b. Doa orang orang yang ditimpa musibah lebih mustajab
c. Ia akan lebih mendewasakan diri.

Firman Allah SWT bermaksud : “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab sebelum Kami menciptanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang sombong lagi membanggakan diri”
( Al-Hadid : 22-23 )

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud : “ Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang, yang ketika musibah, mereka berkata “ “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al-Baqarah : 155-157 ).

Akhir sekali di ruangan ini, bahawa ujian Allah bukan hanya berupa kegagalan, dan kepayahan sahaja, tetapi juga berbentuk kejayaan dan kemewahan. Allah SWT berfirman bermaksud: “ Dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan Kamilah kamu semua kembali.”

Wallahu a’lam.

Tuesday, January 26, 2010

Mungkin….. Tapi, Allah Juga Yang Lebih Mengetahui

4

Setelah hampir 25 tahun bertugas sebagai pendidik, berbagai pengalaman telah saya lalui. Antara pengalaman yang ingin dikongsikan di blog ini ialah ketika waktu perpisahan kerana bertukar tempat kerja. Ada berbagai sebab mengapa saya bertukar tempat kerja. Yang pertama kerana mengikut isteri. Saya bertugas di Pontian manakala isteri saya bertugas sebagai Pegawai Penilaian di JB. Oleh kerana isteri tidak boleh berpindah ke Pontian, beliau terpaksa berulang-alik setiap hari. Kerana itu saya mengambil keputusan untuk memohon berpindah mengikut isteri.


Apabila permohonan saya diterima, maka tibalah hari-hari terakhir di Pontian. Ramai rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah dan selamat menempuh hidup baru di tempat yang lebih mencabar….Johor Bahru. Ada di antara mereka kata, “untunglah awak, dapat pindah”. Ada yang kata, “rugilah sikit duduk JB, semuanya mahal”. Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, pada satu hari saya menerima surat di pindahkan ke Kulai menyandang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan (HEM). Saya pun melapor diri pada tarikh yang ditetapkan dan tidak bercadang berpindah rumah yang berada di Skudai. Saya perlu memandu sejauh 60KM pergi balik dengan dikenakan bayaran tol sekitar RM4 sehari. Ramai yang mengucapkan tahniah atas perpindahan tersebut yang dirasakan menguntungkan kerana naik pangkat (sebenarnya tidak …. Kerana masih dig red yang sama) dan tak kurang juga berfikiran... “Kalau aku, tolak je…. Rugi, tak berbaloi dengan duit minyak dan tol yang terpaksa dikeluarkan”. Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Setelah 5 tahun berlalu dan banyak pengalaman ditimba di Kulai, antaranya sempat mendidik Mawi dan Que Haidar, saya rasa tibalah masanya saya kembali bertugas di Johor Bahru. Malangnya permohonan saya ditolak atas sebab tiada kekosongan jawatan yang sama iaitu Penolong Kanan (HEM). Tetapi saya menyatakan kesediaan untuk berhijrah ke sekolah yang baru diwujudkan tanpa jaminan jawatan guru kanan. Permohonan saya diterima dan ditempatkan di Mutiara Rini. Di majlis perpisahan, beberapa guru menyatakan “Rugilah awak, jika tunggu, tak lama lagi dah boleh jadi Pengetua !” Saya menjawab “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


3 tahun kemudian, saya dipindahkan ke SMK Tmn Universiti sebagai Penolong Kanan (Akademik). Ramai rakan ucap tahniah. “Tahniah! Untungnya awak”. Saya menjawab “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”. Tidak sampai setahun melaksanakan tugas sebagai Penolong Kanan (Akademik), saya berpeluang menjadi warga Temenggong di JB sebagai pensyarah. Saya mengambil peluang ini untuk berhijrah, lebih-lebih lagi saya mendapat sokongan padu dari Otai Temenggong, Tn. Hj. Sasman. Begitu juga dengan Pengetua, juga bekas pensyarah maktab, menggalakkan saya menimba pengalaman di Temenggong. Di majlis perpisahan, di samping beberapa rakan mengucapkan tahniah, ada beberapa guru menyatakan “Rugilah awak, jika tunggu, tak lama lagi dah boleh jadi Pengetua !” Saya tersenyum je dan gembira dengan perbualan yang mencetuskan pelbagai pandangan. Tetapi, saya mempunyai satu jawapan kepada kedua-dua maklum balas tersebut….. “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


5 tahun berlalu sebagai warga Temenggong, banyak pengalaman telah diperolehi. Saya dilantik memangku jawatan Pegawai Kanan PPPS DG52. Ketika Tuan Pengarah, Tn. Hj. Mohd Said b. Hasran menyampaikan surat perlantikan tersebut di majlis bersama warga Temenggong, beliau sempat membisikkan kepada saya….. lebih kurang “Tahniah! Untung awak, cepat 10 tahun” Saya tersenyum dan mengucapkan terima kasih sambil bersalaman, tetapi hati saya berkata “Mungkin….. Tapi, Allah juga yang lebih mengetahui”


Dengan rasa rendah hati, saya bersyukur ke hadrat Ilahi di atas segala ‘keberuntungan’ yang diberikan dan memohon ampun di atas segala kelemahan dan keterlanjuran dalam melaksanakan amanah selaku khalifah di muka bumi ini.

Friday, January 22, 2010

Kisah 2 Orang Pengembara

5
Assalamualaikum.
Saya kerap diberi kesempatan untuk berinteraksi dengan dengan pelajar pelbagai kaum dengan mengutarakan tajuk Mengenal Diri.

Saya akan memaparkan slide PowerPoint saya seperti berikut dan memberi masa peserta untuk menjawabnya di kertas kosong yang disediakan.

Nama :
Kategori :
Pencipta :
Status di bumi :
Tujuan ke bumi :
Tugas Khusus :
Taraf amanah :
Kualiti amanah :
Tempoh di bumi :
Destinasi hidup :
Matlamat hidup :

Setelah lebih kurang 10 minit, saya memungut jawapan-jawapan dari peserta ceramah. Saya akan mendapat pelbagai jawapan dari pelbagai latarbelakang pelajar. Saya akan membincangkan satu persatu mengikut kesesuaian pendengar.

Berikut adalah ‘guideline’ perbincangan yang dijalankan secara satu persatu. Saya akan cuba membawa mereka memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dalam perbincangan berdasarkan soalan-soalan dan jawapan-jawapan yang diperolehi.

Nama : Sipulan
Kategori : Manusia
Pencipta : Tuhan
Status di bumi : Pemimpin
Tujuan ke bumi : Melaksanakan amanah
Tugas Khusus : Mendidik
Taraf amanah : Kewajipan mutlak
Kualiti amanah : Ibadah
Tempoh di bumi : Sementara
Destinasi hidup : Akhirat
Matlamat hidup : Keredhaan Allah

Setelah tamat perbincangan, saya akan berkongsi dengan mereka sebuah analogi berikut

Seorang pengembara yang sangat keletihan telah terjumpa sebuah rumah yang sangat indah lagi besar. Dia pun masuk dan mendapati banyak makanan dan minuman yang terhidang di dalam rumah tersebut. Dia cuba mencari-cari tuan rumah tetapi tidak berjumpa. Dalam keadaan lapar dan kehausan dan buntu untuk menemui tuan rumah tersebut, lalu dia pun makan dan minum sepuas-puasnya.

Tiba-tiba datang pegembara yang ke-2 yang juga kelihatan dalam keletihan dek perjalanan yang jauh lagi lama, lalu dia bertanya, “Salam Sejahtera. Tuankah empunya tempat ini ? Izinkan saya merasai makanan dan minuman untuk mengalas perut ini”. “Maaf, saya bukan tuan rumah ini. Saya juga ingin berjumpanya untuk meminta izin menikmati juadah yang terhidang ini, tetapi belum berjumpa sehingga kini. Tetapi silakan makan bersama saya”. Pengembara ke-2 kehairanan, “Tuan kenalkah tuan rumah ini?”. “Tidak” jawab pengembara pertama dengan selamba sahaja. Pengembara ke-2 pun berkata dengan tegas “Kalau begitu tuan adalah seorang pencuri yang patut dihukum”.

Saya bukakan peluang untuk mengeluarkan pendapat mengenai peristiwa tersebut. Komen, tambahan dan pengajaran yang boleh diperolehi. Beberapa persoalan diutarakan untuk menggalakkan perbincangan tersebut.
 Apa pendapat anda tentang peristiwa tersebut ?
 Setujukah anda dengan pendapat pengembara ke-2 ?
 Siapa agakya tuan rumah tersebut?

Saya kaitkan analogi itu dengan dengan kehidupan di dunia ini. Dunia sebagai rumah yang besar lagi indah dan penuh dengan makanan dan minuman yang berlimpah ruah. Kita sebagai manusia yang bermusafir singgah sebentar di rumah besar nan indah ini yang penuh dengan kenikmatan. Sudah tentu bumi ini bertuan. Siapa tuan bumi ini? Naluri manusia akan mencari-cari tuan yang hebat ini.

Biasanya saya akan dapat pandangan yang berbeza-beza dari pelajar pelbagai kaum dan agama. Menarik dan seronok. Saya harapkan mereka dapat Mengenal Diri dengan bermakna hasil interaksi tersebut.

Berjumpa lagi di masa akan datang.
Sila catat sesuatu diruang ‘comments’. Komen anda sungguh bermakna untuk saya.

Wassalam.

Monday, January 18, 2010

Aku Ingin Pulang

3

Aku Ingin Pulang


Satu lagi iklan raya Petronas yang menyentuh perasaan amat sesuai dihidangkan berulangkali kepada generasi muda. Klip video ini amat sesuai ditonton bersama peserta kursus dan kemudian dijadikan topik perbincangan hati ke hati supaya mesejnya dapat dihadamkan dan diamalkan dalam sistem kehidupan kita.


Kisah bermula di bulan puasa Ramadhan Al-Mubarak dengan pemandangan di Hospital di mana si Ayah telah dibenarkan pulang oleh doktor dan menyuarakan keinginannya untuk pulang ke rumahnya sendiri, tetapi anak perempuannya dengan berat hati membawa si Ayah tinggal bersamanya setelah permohonannya kepada pihak hospital untuk melanjutkan tempoh rawatan si Ayah sehingga selepas Eidul Fitri di tolak!! Si Ayah perasan yang menantunya tidak berapa setuju dengan situasi yang wujud.


Waktu makan bersama anak, menantu dan dua orang cucu yang ‘jujur’ menjadi pengalaman pahit si Ayah. Dengan kelemahan pergerakan yang ada, si Ayah sering tidak dapat mengawal pegangannya menyebabkan cawan terlepas dari tangannya, hirupan sup yang menitis ke lantai dan pinggan berisi lauk tertumpah di meja makan di samping kegagalan otot-otot mengawal pembuangan najis.


Si Menantu dan anaknya yang bersekongkol itu tidak tahan dengan kerenah si Ayah lalu menyediakan tempat makan yang berasingan bersama kucing keluarga dengan menyediakan cawan, mangkuk dan pinggan plastik ala ‘tray’ di asrama dengan alasan mengelakkan dari peralatan tersebut pecah lagi. Si Ayah perasan mangkuk yang digunakan sama dengan mangkuk makanan kucing keluarga itu. Sedih si Ayah diperlakukan begitu dan terkenang beliau ketika saat-saat dia membesarkan si Anak menatang bagai minyak yang penuh sehingga berjaya di menara gading, ini balasannya terhadap semua pengorbanannya ………( lagu Aku Ingin Pulang beralun sedih melatari suasana pilu tersebut)


Hari Raya Eidul Fitri dah hampir. Sedang si Menantu dan Anak tadi sibuk memasang pelita raya, mereka menegur Sang cucu-cucu yang sedang bermain rumah-rumah, “Main apa tu ?” Sang Cucu menjawab “ Bila kami besar, Mak dan Abah duduk sini, Kakak dan Adik duduk dalam ” . “Jangan lupa pakai lampin tau ……”


Alhamdulillah, peristiwa tersebut menyedarkan mereka dan si Anak berjumpa si Ayah dalam suasana pilu memohon kemaafan. Si Ayah dengan sifat kebapaan berlapang dada menyambut kasih sayang yang berkunjung di penghujung Ramadhan yang menggamit ketibaan Syawal.












***Sedih juga bila mencoretkan babak-babak kemanusiaan di atas.

Ingin berkongsi sesuatu…… ? Silakan…. Mungkin pengunjung dapat manafaat dari coretan tambahan anda di ruangan komen di bawah.

Bertemu kita di masa yang terdekat, insyaAllah. Wassalam.


Saturday, January 16, 2010

Hadiah Kawan Lama

5

Assalamualaikum.


Ketika mendapat peluang berceramah saya suka menggunakan teknik bercerita, terutama cerita analogi yang boleh dibincangkan dan membuatkan pendengar turut berfikir dalam konteks diri mereka melalui pengalaman yang ada.


Selain terus bercerita secara lisan, saya juga suka menggunakan video klip sebagai bahan analogi saya. Antara yang paling saya gemari apabila menyentuh bekalan yang akan kita bawa pulang ke alam akhirat ialah salah satu klip iklan Petronas . Sudah tentu saya akan mendapat respon tafsiran ‘moral of the story ….’ yang berlainan dari pelbagai sudut oleh pendengar.


Iklan tersebut mengisahkan seorang pembuat sampan, bernama Man, yang meningkat usia yang hilang semangat untuk meneruskan kariernya di kampung. Beliau ingin berhijrah ke bandar untuk menjadi pengawal keselamatan yang mungkin menjanjikan kehidupan yang lebih indah.


Dengan raut wajah yang sedih beliau menyatakan hasratnya kepada rakan lamanya, Tuan Haji, seorang peniaga yang dia banyak memberi pinjaman kewangan kepadanya. Pak Man memberi jaminan akan membayar hutanngya bila telah berjaya di Bandar nanti. Tuan Haji boleh lupakan hutangnya dengan satu syarat iaitu Pak Man membuatkannya sebuah sampan. Kos membuatnya Tuan Haji tanggung, ambil sahaja barangan yang diperlukan dari kedainya. Tuan Haji menunjukkan model sampan yang diingininya.


Tawaran yang sukar ditolak. Beliau pun menerimanya tetapi dengan berat hati. Pak Man membuatkannya dalam keadaan yang kurang sempurna. Bermula dengan menggunakan bangkai sampan yang ditinggal sebagai asas, dan menggunakan kayu dan papan lama yang kurang kualitinya, beliau mengusahakan hajat Tuan Haji. Suatu hari bila Tuan Haji datang menziarahinya yang sedang menyiapkan tugasannya, beliau cuba menyembunyikan hasil kerja dari dilihat kerana beliau sedar akan buruknya hasilkerjanya yang belum di buat ‘finishing touch-up’ yang akan menyembunyikan kecacatan yang ada.


Satu hari ketika hujan beliau mendapati terdapat kebocoran di sampan yang sedang dibuat. Beliau pun menampalnya dengan kaedah yang kurang sempurna.


Setelah siap dan diberi ‘finishing touch-up’ termasuk mengecatnya, beliau pun menurunkan sampan ‘baru’nya ke sungai dan menguji ala kadar dan didapati memuaskan pada pandangan beliau. Pak Man pun berjumpa dengan Tuan Haji dan ingin menyerahkan hasil kerjanya. Amat gembiranya dan macam tak percaya kerana Tuan Haji menghadiahkan sampan tersebut ditambah lagi dengan enjin bot yang baru kepadanya sebagai hadiah kawan lama dan memberi cadangan ‘motorbot baru’ itu boleh dijadikan sumber pendapatan jika dijadikan pengangkutan atau disewakan, lebih-lebih lagi akan ada projek besar di seberang sungai sana yang akan bermula.


Pak Man sangat gembira dan tak sabar untuk menggunakan engin bot ke atas sampan ‘baru’nya. Beliau pun tak sabar untuk mandu uji ‘motorbot’ barunya. Setibanya di jeti tempat sampannya dilabuhkan ............ amat malang sekali, sampan ‘baru’nya telah penuh dengan air yang munkin masuk dari celah-celah hasilkerja yang tidak teliti.


Sampannya mula tenggelam. Pak Man terduduk di atas jeti sambil memegang dahinya......


Saya membuka peluang kepada peserta kursus untuk memberikan pengajaran yang boleh kita ambil dari klip video tersebut……







Ya …. Tuan-tuan dan puan-puan serta saudara-saudari….. silakan coretkan penafsiran pengajaran yang boleh anda perolehi.


Jumpa lagi di kisah analogi seterusnya.


Wassalam.


Wednesday, January 13, 2010

Pendaki Gunung Dengan Penunjuk Arah

5
Analogi yang saya suka gunakan ketika memulakan sesuatu kursus ialah kisah Pendaki Gunung dengan Penunjuk Arah.

Sekumpulan 20 orang remaja dengan disertai seorang penunjuk arah yang berpengalaman telah memulakan pendakian sebuah gunung yang bersejarah lagi mistik. Pendakian yang dijangkakan mengambil masa 2 hari 1 malam itu dimulakan selepas zohor.

Setelah meredah hutan tebal dengan berpandukan kompas dan pengalaman si pemandu arah, mereka tiba di sebuah gua di waktu senja. Pemandu Arah pun meminta para pendaki menyiapkan tempat bermalam di dalam gua yang agak gelap suasananya dengan berpesan "Ketika berkemas, pungutlah butiran batu yang bertaburan sebagai cenderamata kepada keluarga dan rakan-rakan"

Dalam keadaan letih mereka pun menyiapkan tempat tidur dengan mengutip batu-batu yang bertaburan. Ada yang teringat pesanan tadi dan menyimpan butiran batu ke dalam beg galas mereka. Ada yang merasakan pesanan tersebut tidak serius dan mencampakkan batu-batu itu ke luar gua atau lebih jauh ke dalam gua. Ada yang sangat keletihan dan tidak teringat pesanan tersebut dan yang penting bagi mereka ialah kerehatan yang ditunggu-tunggu.

Keesokan paginya, dalam kegelapan subuh mereka mula meneruskan pendakian yang sukar sehingga ada yang merasakan benjolan batu-batu yang dikendong mengganggu tubuh badannya dan juga menambahkan beban beg mereka yang dari semasa ke semasa dirasakan bertambah berat bebanannya. Beberapa pendaki mengambil keputusan untuk membuangkan sebahagian batu tersebut dan ada yang membuang keseluruhannya. Perbuatan ini disokong oleh mereka yang tidak menghiraukan pesanan Pemandu Arah dan juga mempengaruhi beberapa pendaki yang lain yang turut membuang batu-batu untuk mengurangkan bebanan.

Pada jam 11 pagi mereka tiba di puncak dengan rasa gembira dan penuh kepuasan. Mereka mengambil tempat berehat dan mengeluarkan bekalan makanan. Beberapa pendaki menjerit kekaguman " Wah ! Cantiknya batu-batu yang berwarna warni ini. Tentu emak dan ayah gembira menerima cenderamata ini". Penunjuk Arah berkata " Ia akan lebih memancarkan cahayanya apabila digilap selalu". Beliau seterusnya memberi peringatan "Kita ada masa satu jam sahaja di puncak ini, kemudian kita akan memulakan perjalanan pulang melalui arah yang bertentangan".

Mereka yang tidak memiliki batu-batu gua tersebut merasa sedih dan kurang ceria di sepanjang perjalanan pulang.

Begitulah akhirnya analogi tersebut dan saya akan bukakan kepada peserta kursus atau program untuk membuat penafsiran "moral of the story....." di sebalik analogi tersebut.

Dikesempatan ini bolehlah rakan pengunjung blog ini mencoretkan penafsiran, pandangan dan komen mengenai analogi ini. Dipersilakan....... Wassalam.

Hello World & Salam Semua

5
Alhamdulillah,

Allah izin dapat juga saya membina blog ini. Semenjak awal tahun 2010, saya berazam untuk memiliki laman blog sendiri. Beberapa rakan dihubungi dan bertanyakan pengalaman membina blog. Kebanyakkannya masih kurang berpengalaman.

Dapat berbual sebentar dengan Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan, Sdr. Kamaludin Ahmad, seorang yang sangat berpengalaman mengenai dunia alam maya ini, dan beliau menjemput ke pejabatnya untuk bantuan selanjutnya. Malangnya dalam kesibukan tugas beliau, kami sukar untuk menyambung bantuan yang ingin dihulurkan.

Anak saudara, Hafiz Jais dihubungi, alhamdulillah dapat beberapa tips, tetapi beliaupun tiada blog sendiri dan kurang berkesempatan buat masa ini untuk blogging. Masih tercari-cari...... menunggu masa yang 'ditetapkan' oleh Allah akan kelahiran blog sendiri.

Emel anakanda di Jordan, Hilal Asyraf, blogger berpengalaman dan sangat aktif dan ramai pengunjungnya (di blognyalah bermula keinginan untuk mempunyai laman blog seperti dia punya), menyatakan hasrat dan meminta tips.

Eureka ! Alhamdulillah. Tips yang simple dari beliau meringankan saya terus ke blogger.com seperti yang diarahkan..... dan...... di sini kita bersama Didik Diri.

Semuga ini permulaan perjalanan yang diberkati Allah. Terima kasih tak terhingga kepada semua yang menyumbang terhasilnya laman blog ini. Ini sangat bermakna untuk diri ini.

Wassalam.